Halangi Kehamilan

Endometriosis, Fibroid Halangi Kehamilan

ISU kesuburan memang cepat menjadi perhatian, terutama di kalangan pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi masih tiada anak. Tekanan akan bertambah jika ada pihak ketiga ‘rajin’ bertanya dan mendesak supaya cepat, sedangkan ia sebenarnya di luar bidang kuasa kita.

Bagaimanapun, kita tidak boleh terus berserah kepada takdir kerana kita mungkin menghadapi masalah kesuburan tanpa disedari. Antara masalah yang paling biasa melanda wanita ialah endometriosis dan fibroid.

Endometriosis dan fibroid ialah ketumbuhan benigna pada tisu berserat dan berotot yang sering menyebabkan kesakitan dan pendarahan haid berlebihan — antara punca utama yang mengganggu kesuburan wanita.

Endometriosis ialah lapisan tisu yang sepatutnya melapisi dinding dalam rahim (uterus) ada di luar rongga uterine atau pada otot rahim. Biasanya di atas permukaan organ dalam pelvik dan abdomen.

Endometriosis boleh dianggap tumor atau ketumbuhan baru (neoplasma) yang bertindak setempat dan boleh merebak. Ia bukan barah, tetapi boleh merebak seperti barah.

Malangnya, sehingga kini punca endometriosis belum diketahui secara tepat, tetapi saintis di seluruh dunia percaya ia ada kaitan dengan aliran balik darah haid ke dalam uterus (rahim).

Masalah ini dihadapi antara 10 hingga 25 peratus wanita di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Namun, tiada data mengenai jumlah wanita Malaysia yang ada masalah sama.

Namun, seperkara penting yang perlu anda tahu, endometriosis berkait rapat dengan ketidaksuburan. Ada laporan kesihatan menyatakan antara 15 hingga 24 peratus wanita yang tidak subur mengalami masalah endometriosis, manakala antara punca ketidaksuburan bagi 70 hingga 80 peratus wanita lain tidak diketahui.

Endometriosis biasanya didapati di atas atau bawah ovari, belakang uterus, atas tisu yang memegang uterus, atas usus atau pundi kencing. Dalam sesetengah kes, endometriosis boleh tumbuh di dalam paru-paru atau organ lain, tetapi kes seperti ini jarang berlaku.

Presiden Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (Mamaneh) yang juga pakar perunding kanan perbidanan dan sakit puan, Profesor Dr Nik Mohd Nasri Ismail, berkata endometriosis turut menyebabkan wanita kerap mengalami masalah sakit perut, terutama ketika haid (dysmenorrhea).

Selain itu, simptom endometriosis termasuk:

  • Sakit ketika melakukan hubungan seks (dyspareunia).

  • Sakit ketika penghasilan telur.

  • Sakit pinggang (belakang badan).

  • Rasa sakit hendak buang air, terutama ketika haid.

  • Pendarahan sebelum atau antara waktu haid.

  • Tidak subur atau sukar hamil.

  • Gangguan haid, sama ada terlalu banyak atau sedikit.

  • Gangguan kesihatan, terutama ketika haid seperti cepat penat dan tiada semangat.

    Bagaimanapun, darjah kesakitan tidak boleh dijadikan penunjuk bilangan endometrosis yang ada dalam badannya kerana ada wanita tidak mengalami masalah, walaupun saiz endometriosis besar dan sebaliknya.

    “Endometriosis adalah masalah kesuburan biasa yang dialami 80 peratus pasangan yang tiada anak. Selain mengganggu kesuburan wanita, endometriosis boleh mendatangkan masalah kepada hubungan seks dan sosial.

    “Siapa yang boleh dapat? Semua wanita yang sudah baligh boleh mendapatnya bermula daripada haid pertama sehinggalah menopaus; tidak kira berapa usia mereka. Pun begitu, ada kalanya endometriosis berlaku pada wanita putus haid,” katanya ketika memberikan ceramah kesuburan wanita anjuran bersama Mamaneh dan Schering (Malaysia) Sdn Bhd.

    Bagaimana endometriosis boleh menyebabkan ketidaksuburan?

    Setiap bulan, tisu endometrium akan membiak dalam rahim dan membentuk satu lapisan seperti dinding. Lapisan ini akan menebal pada awal kitaran haid sebagai persediaan menerima telur tersenyawa (embrio).

    Bagaimanapun jika tiada, dinding ini akan runtuh dan dibuang sebagai haid.

    Endometriosis yang ada di luar rahim juga akan mengalami proses sama seperti dalam rahim dan berdarah setiap bulan. Bagaimanapun, oleh kerana tisu ini ada di tempat tidak sepatutnya, ia tidak boleh keluar dari badan seperti lapisan endometrium dalam rahim.

    Pada masa sama, tisu ini akan menghasilkan bahan kimia yang boleh mengganggu tisu lain dan menyebabkan rasa sakit. Lama kelamaan, lapisan endometriosis ini semakin tebal dan membentuk benjolan atau sista (kantung berisi cecair) dalam ovari.

    Endometriosis perlu dibuang segera kerana ia akan menyebabkan:

  • Tiada penghasilan telur.

  • Folikel tidak pecah.

  • Luteolisis.

  • Oosit tidak matang.

  • Hubungan seks menjadi sakit dan ini mengakibatkan ia jarang dilakukan.

  • Kadar keguguran yang tinggi (45 peratus).

    Dr Nik berkata, endometriosis boleh wujud di dalam ovari, belakang rahim, di atas otot rahim, usus kecil, vagina dan kadangkala di paru-paru. Ovari boleh jadi besar dan bengkak jika dipenuhi endometriosis.

    Malah, endometriosis juga boleh menyebabkan kerosakan fungsi tiub fallopia, ovari serta menjadikan organ dalam pelvis berparut dan melekat antara satu sama lain yang lebih menyukarkan seseorang wanita itu untuk hamil.

    Seperti dikatakan tadi, endometriosis bukan barah dan ia boleh dikesan melalui pembedahan laparoskopi, tetapi pesakit perlu mendapat rawatan segera kerana endometriosis adalah penyakit yang sentiasa ‘berkembang’.

    Fibroid dalam rahim pula adalah masalah ketumbuhan paling biasa yang dihadapi antara 20 hingga 40 peratus wanita, terutama selepas 35 tahun. Ia boleh wujud sendirian atau berkumpulan; ada juga pesakit yang mempunyai 200 fibroid dalam rahimnya.

    Malah, fibroid boleh wujud di pelbagai tempat, tetapi biasanya di dalam atau luar rahim, serviks dan ligamen besar. Kebanyakan fibroid bersifat asimptomatik atau tidak menunjukkan gejala penyakit.

    Antara simptom utamanya termasuk perut buncit yang ketara, sakit (disebabkan berlakunya jangkitan) dan memberi tekanan pada pundi kencing, mengakibatkan pesakit sukar membuang air kecil.

    Ada kala pesakit juga mengalami sindrom urat timbul (vena varikos) terutama jika fibroid terlalu besar, sembelit serta gangguan kitaran haid, sama ada haid menjadi banyak dan menyebabkan anemia, berdebar-debar, lesu serta sakit dada.

    Dr Nik berkata, tanda fibroid lain adalah apabila uterus membesar dengan bentuk dan permukaan tidak sekata, keras dan boleh bergerak. Kadangkala ia boleh wujud bersama endometriosis.

    Bagaimana fibroid boleh menyebabkan ketidaksuburan?

  • Fibroid menyempitkan ruang dalam rahim dan menghalang embrio daripada melekat di dinding rahim (yang berlaku pada hari keenam dan kelapan) selepas persenyawaan (ovulasi).

  • Permukaan fibroid tidak mampu menjadi tapak perlekatan embrio kerana ia kekurangan bekalan darah dan embrio yang melekat padanya akan mudah gugur; menyebabkan keguguran.

  • Lapisan uterus boleh mengecut atau mengembang; kedua-duanya tidak sesuai untuk perlekatan embrio.

  • Kehadiran fibroid boleh menghalang pergerakan sperma ke salur tiub fallopia.

  • Fibroid pada serviks boleh mampat ke saluran serviks dan mengubah kedudukan serviks ke tengah vagina selepas hubungan seks.

  • Fibroid yang besar mungkin menolak ovari jauh dari rahim menyebabkan ovum (telur) sukar untuk disenyawakan.

    Dr Nik berkata, pesakit tidak memerlukan rawatan jika saiz fibroid kecil dan tidak menyebabkan masalah, tetapi biasanya semua fibroid dibuang melalui pembedahan.

    Ada dua jenis pembedahan, iaitu miomektomi (pembuangan fibroid saja) yang biasanya dijalankan jika fibroid tidak terlalu besar ke atas pesakit muda dan masih mahu mendapatkan anak, atau histerektomi iaitu pembuangan seluruh uterus.

    Namun, jenis kedua ini hanya disarankan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas yang tidak lagi mahu mengandung.

    Kadangkala, fibroid tidak terlalu besar tetapi boleh menyebabkan banyak pendarahan dan mempunyai banyak polip dalam ovari. Dalam kes begini, pembedahan perlu dijalankan segera, tetapi doktor akan berbincang dengan pesakit sama ada ovari mereka perlu dibuang atau sebaliknya.

    Dalam kes fibroid yang menyebabkan pendarahan haid yang banyak, Dr Nik mencadangkan supaya mereka memakai alat dalam rahim (IUD) yang mengandungi hormon levonorgesterel bagi mengurangkan pendarahan dan membantu memperlahankan pertumbuhan fibroid.

    Bagi pesakit muda, alat ini juga boleh membantu mengekalkan kesuburan manakala di kalangan wanita berusia, IUD mengawal masalah haid, mengelakkan kehamilan dan menyediakan rahim jika pesakit mahu menjalani rawatan penggantian hormon.



This article comes from ::[Selamat Datang ke Laman Web Rasmi Hospital Parit Buntar]::
http://hptar.moh.gov.my

The URL for this story is:
http://hptar.moh.gov.my/modules/xt_conteudo/index.php?id=68